Saturday, March 21, 2009

4,885 PERWAKILAN BERKAMPUNG DI PWTC SELAMA EMPAT HARI MULAI SELASA INI



Seramai 4,885 perwakilan, termasuk dari ketiga-tiga sayap, daripada 191 bahagian akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 28 Mac ini bagi mengikuti Perhimpunan Agung Umno.
Mereka terdiri daripada 2,509 perwakilan ke perhimpunan agung Umno, 796 (pergerakan Wanita), 791 (Pemuda) dan 789 (Puteri).
Perhimpunan tersebut juga bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti yang baru untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Turut hadir wakil daripada 70 buah Kelab Umno luar negera yang telah mengesahkan kehadiran mereka di perhimpunan kali ini.
Perhimpunan tersebut akan bermula dengan majlis perasmian serentak perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 24 Mac di Dewan Merdeka.
Seramai 2,376 perwakilan dari ketiga-tiga sayap tersebut akan mengadakan mesyuarat mereka pada pagi keesokan harinya.
Manakala proses pemilihan pucuk pimpinan ketiga-tiga sayap tersebut akan berlangsung pada hari Rabu.
Pengundian dijadualkan bermula jam 11 pagi manakala keputusannya dijangka diketahui pada jam 9 malam hari yang sama.
Majlis perasmian perhimpunan agung Umno akan berlangsung pada 26 Mac oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sebelum itu, Abdullah akan memeriksa perbarisan oleh pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, serta upacara menaikkan bendera Umno.
Proses pengundian pemilihan jawatan timbalan dan naib presiden serta kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno akan berlangsung selepas majlis perasmian tersebut.
Pengundian dijadual bermula jam 11 hingga manakala keputusannya dijangka diumumkan pada jam 10 malam yang sama.
Perhimpunan agung tersebut diteruskan pada hari kedua dan ketiga (27 dan 28 Mac) dengan perbahasan ucapan dasar presiden dan membahas usul ekonomi, agama dan pendidikan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perhimpunan pada hari terakhir akan selesai lebih awal untuk membolehkan para perwakilan pulang membuat persiapan bagi penamaan calon bagi tiga pilihanraya kecil pada keesokannya.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calaon bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak) pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April ini.

No comments: