Monday, January 5, 2009

PEMUDA PAS KEDAH SEDIA JIHAD DI PALESTIN

"Sesungguhnya isu Palestin tidak akan selesai dengan diplomasi tetapi selesai dengan senapang dan jihad umat Islam."
Demikian kata-kata As-Syahid Dr Abdullah Azzam yang dipetik semula oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah semasa membakar semangat para hadirin yang menyertai demonstrasi membantah kezaliman Zionis Israel berhampiran Menara Jam Besar, i sini selepas solat Jumaat semalam.
Dengan kalimah syahid dan jihad menjadi laungan peserta demonstrasi, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Perak, Ustaz Sidik Noor yang turut menyertai demonstrasi itu juga bersama membangunkan semangat peserta dengan pidatonya.
Beliau menyeru pemuda agar melakukan kesiap-siagaan sekiranya dipanggil untuk melaksanakan jihad di bumi Palestin. Katanya, pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Yassin telah menyediakan pemuda-pemuda untuk berjihad di bumi Palestin, maka pemuda PAS juga perlu bersiap untuk berjihad dan syahid pada bila-bila masa.
"Buktikan bahawa kita pemuda Islam adalah pemuda yang berani mati di jalan Allah!" katanya disambut laungan takbir para peserta.
Menurutnya juga, ulama-ulama Iran telah memberi galakan kepada pemuda mereka untuk berjihad di Palestin, oleh itu beliau mahu mimbar-mimbar di seluruh negara mengakui bahawa mereka yang berjihad di Palestin adalah mati syahid.
Demonstrasi anjuran Pemuda PAS Kedah itu disertai lebih 1,000 peserta dari pelbagai peringkat umur dan kaum. Turut serta Ahli Dewan Negara, Senator Ir Zamri Yusof, Exco Kerajaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib, Abdullah Jusoh dan Tan Wei Shu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, Adun Bukit Lada, Ustaz Ahmad I'zzat Mohamed Shauki dan aktivis sosial, Kalai Vanar.
Pada demonstrasi yang berlangsung hampir dua jam itu, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad telah membacakan deklarasi Pemuda PAS Kedah. Demonstrasi itu turut menyaksikan lima bendera negara Israel dibakar dan demonstrasi diakhiri bacaan doa oleh Exco Pemuda PAS Kedah, Ustaz Md Lotfi Ariffin.

No comments: