Sunday, January 4, 2009
SEBUAH CATATAN : GAZA OH GAZA DIMANA MARUAH UMAT ISLAM.....?
HARI Jumaat, kaum muslimin akan diperdengarkan dengan khutbah yang telah menjadi syariat sejak zaman berzaman. Maka hari Jumaat boleh juga dianggap hari untuk menimba pengajaran, bermuhasabah dan menjana keinsafan.
Tetapi dalam amalan mazhab kita, hanya lelaki sahaja disyariatkan untuk ke masjid pada hari Jumaat. Ketika berkunjung ke Iran beberapa tahun lepas, saya melihat wanita di sana juga turut bersolat Jumaat. Tetapi jika mahu diambil pengajaran daripada khutbah, wanita di negara kita tidak perlu ke masjid. Mereka boleh mengisi masa luang tengah hari ini untuk mengikuti siaran khutbah dari Masjid Negara yang disiarkan di TV. Itu adalah lebih baik daripada merayap membuang masa dan duit di kompleks beli belah meskipun anda mungkin berasa, ini adalah hari beli belah yang paling ‘merdeka’ kerana suami tidak ikut bersama. Apatah lagi dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang, berjimat cermat adalah lebih baik.
Sebelum ke masjid atau menghadap TV untuk mengikuti siaran khutbah dari Masjid Negara, saya mahu mengajak anda semua untuk memejamkan mata beberapa kita dan kita bayangkan suatu suasana yang penuh dengan kecemasan, ancaman, ketakutan dan usaha yang amat tipis untuk kita menyelamatkan diri serta anggota keluarga daripada maut yang sedang memburu dengan begitu hampir.
Bayangkan juga, rumah yang kita bina atau beli daripada hasil kerja selama bertahun-tahun dengan penuh susah payah demi untuk memberi perlindungan kepada keluarga, dan itulah satu-satunya atau satu daripada harta kita ada yang tidak seberapa, musnah atau ranap dalam sekelip mata akibat peluru atau bom berangkai yang dilepaskan oleh pihak yang memburu kita dengan hanya satu tekanan punat.
Dan hidup kita pun menjadi sengsara, amat sengsara. Segala-galanya musnah dalam sekelip mata.
Bayangkan juga wajah anak, isteri atau suami, ibu, ayah dan sesiapa sahaja yang kita sayang, hancur berkecai menjadi mangsa peluru musuh.
Anak yang kita tatang dan kita belai, dalam usia yang masih sangat muda malah langsung tidak mengenal erti konflik yang sedang dihadapi, turut menjadi mangsa. Makhluk tuhan yang senaif itu, terpaksa menanggung azab yang sangat pedih, kesengsaraan yang tidak terperi daripada percaturan oleh mereka yang sekadar membuat keputusan untuk menghancurkan hidup berjuta-juta manusia lain, dari dalam bilik berhawa dingin tanpa sebarang rasa berdosa. Mereka turunkan tanda tangan pada dekri arahan menyerang tanpa sedikit pun rasa bersalah. Mereka tidak pernah mahu menghitung nasib hidup orang lain, yang bagi mereka adalah ‘goyem’ (binatang) dan hanya mereka sendiri sahaja ‘manusia’. Nyawa orang lain sama sekali tidak ada harga melainkan hanya layak menjadi bidak-bidak pada papan catur kuasa mereka!
Sedangkan apabila mereka sendiri baru sekadar dibaling dengan kasut oleh orang yang sudah lama teraniaya, gegak-gempita satu dunia dibuatnya!
Meskipun balingan kasut itu tidak mengena dan memang tidak berbaloi dengan balasan yang diterima, namun oleh orang yang sudah sekian lama hidup sengsara tetap menganggap itu adalah kemenangan. Kemenangan oleh orang yang sebenarnya tidak ada keupayaan untuk menentang dengan cara yang lebih sepadan.
Meskipun bagi kita itu mungkin hanya sekadar bayangan, ilusi yang sengaja dibuat-buat, tetapi itulah juga realiti yang sedang menghambat rakyat Palestin sekarang. Pernah berlaku di Iraq, di Afghanistan dan sekarang, satu kisah benar di Gaza.
Mangsanya adalah mereka yang hanya sekadar berharap untuk hidup dengan selamat, aman damai dan berpeluang memberikan anak-anak mereka makanan dan mainan, bukan batu atau lastik untuk melindungi diri daripada makhluk berseragam tidak berperasaan yang dilengkapi senjata canggih untuk membunuh orang kosong tangan.
Adakah ini hanya sekadar bayangan? Mustahilkah hal yang sebegini akan turut menimpa diri kita?
Jika kita tidak berhati-hati, lupa diri, mungkin jawapannya, ya!
Malam kelmarin, sebilangan daripada kita, bersorak gembira apabila melihat letusan bunga api di udara. Sejurus kemudian, kita sama-sama menghulurkan tangan sesama sendiri mengucap selamat tahun baru. Acara selepas itu diteruskan sama ada dengan konsert atau apa sahaja yang berbaur keseronokan. Syaitan-syaitan pun bergentayangan.
Dalam keadaan seperti itu, kita lazimnya terlupa pada perkara yang tidak baik. Kita terlupa ada saudara seagama yang sedang hidup sengsara, lari dari buruan maut yang sedang mengekori dengan rupa yang sangat ganas. Mereka menangis ketakutan melihat percikan bunga api pembunuh yang berlegar di bumbung rumah mereka.
Senjata termoden, tercanggih mana mampu dibalas dengan lastik atau batu. Tetapi itulah satu realiti pertandingan paling tidak setara yang sedang berlaku.
Skrip pelakon utama di peringkat antarabangsa juga sangat berpihak. Mereka bukan sahaja memejamkan mata pada pertandingan yang tidak setara, malahan juga sering menyalahkan si mangsa sebagai angkara sengketa. Si tukang sembelih dibiarkan bermaharajalela!
Sambutan tahun baru, menyerlahkan lagi sikap tidak sensitif sebilangan besar orang kita. Tidak ramai yang berdoa, melainkan lebih ramai yang berfoya-foya, melayan syaitan yang bergentayangan. Kita juga menjadi seperti mereka, tidak menghitung nasib saudara seagama yang teruk menderita.
Saya paling bimbang jika ini juga petanda bahawa kita semakin lupa diri, tidak ambil pengajaran kerana itu sebenarnya semakin mendekatkan kita kepada kejatuhan. Minta Dijauhkan segala bayangan tadi daripada menjadi kenyataan!
OLEH;muhamadmatyakim.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment