Friday, February 27, 2009

PILIHANRAYA KECIL BKT SELAMBAU - BEKAS KETUA PKR TAWAR DIRI JADI CALON BEBAS

Bekas ketua PKR bahagian Pokok Sena, A Jayagopal akan bertanding atas tiket bebas jika tidak dipilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, April depan.
"Saya tunggu PKR membuat keputusan.Jika saya tidak dicalonkan, saya akan bertanding sebagai calon bebas.
“Saya mahu bertanding kerana sudah lama dalam PKR iaitu sejak 1999 lagi. Saya paling layak kerana saya boleh berbahasa Melayu, Cina dan Tamil serta tidak terbabit dengan kes rasuah.
“Tetapi PKR ini mereka suka pilih orang baru, walaupun yang tidak jadi ahli parti,” katanya.
Beliau pernah bertanding kerusi DUN Derga sebagai calon bebas dalam pilihanraya umum 1990 dan atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1995.
Jayagopal berkata, beliau telah dipanggil temuduga oleh sepasukan ahli parlimen PKR Kedah bersama 17 lagi untuk menjadi calon Bukit Selambau.
Tiga ahli parlimen terbabit ialah Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, ahli parlimen Merbok Datuk Rashid Din dan ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.
Katanya, peluang beliau untuk menjadi calon PKR tipis kerana hubungannya yang tidak baik dengan Ahmad dan Johari.
"Keahlian saya digantung sejak tiga tahun kerana membawa kes parti (ke mahkamah) tetapi kes itu telah ditarik balik.
"Seorang pemimpin PKR negeri juga menuduh saya telah menawarkan jawatan ahli-ahli majlis PBT kepada orang-orang India di Kedah," katanya.
Pilihanraya DUN itu diadakan 7 April ini berikutan peletakan jawatan A Arumugam, yang juga ahli exco kerajaan negeri Kedah, awal bulan ini.

No comments: