Wednesday, April 1, 2009

PENGUNDI HANTU MUNCUL SEMULA DI BUKIT SELAMBAU

Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terdesak kerana cuba membangkitkan semula isu pengundi hantu dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut langsung tidak menunjukkan semangat demokrasi kerana mereka sanggup menggunakan apa sahaja cara termasuk mengulangi cerita yang tidak benar untuk meraih undi.
"Tuduhan pengundi hantu ini bukanlah perkara baru. Apa yang menghairankan ialah, kalau betul tuduhan mereka, kenapa tidak pula dibangkitkan di kerusi yang menang.
"Di negeri Kedah, kini mereka yang memerintah, malah tempat ini pun dulunya kerusi mereka.
"Kalau mereka menang tak ada pula pengundi hantu, tapi kalau nampak gaya kalah atau sudah kalah, timbullah isu ini," katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan peruntukan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Sungai Getah, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Fariz Muda yang mengatakan terdapat sebanyak 2,215 pengundi hantu di kawasan DUN Bukit Selambau.
Menurut Fariz, pengundi hantu terbabit didapati berada dalam senarai pemilih di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini.
Menteri Pelajaran yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Bukit Selambau, berkata, taktik PKR yang menggunakan strategi menuduh BN membawa pengundi hantu dianggap cetek dan memang boleh diduga.
"Itulah perkara yang sama mereka bangkitkan. Malangnya, strategi ini sudah cetek dan semua sudah tahu," katanya.
Menurut beliau, BN juga percaya parti pembangkang akan memainkan lebih banyak isu terutama berkait rapat dengan sentimen kaum dalam tempoh terdekat.
"Saya ingin beri jaminan bahawa kalaulah isu perkauman dibangkitkan, rakyat harus sedar bahawa ia bukanlah datang daripada BN sebaliknya pembangkang.
"Apa yang penting ialah rakyat kini boleh menilai siapa yang lebih ikhlas," katanya.

No comments: