Monday, August 25, 2008

PILIHANRAYA PERMATANG PAUH, MASYARAKAT ISLAM DISARAN BUAT SEMBAHYANG ISTIHARAH SEBELUM KELUAR MENGUNDI





"JANGAN GHAIRAH MENJATUHKAN SATU HANTU DAN MEWUJUDKAN SATU HANTU YANG BARU YANG AKAN LEBIH MEROSAKAN AGAMA DAN MASYARAKAT" KATA DR MOHD ASRI


Sebagai pengundi Parlimen Permatang Pauh, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih calon yang harus diangkat sebagai pemimpin esok.
Dr mOhd Asri menjelaskan soal undi bukanlah semudah pertandingan 'gores dan menang' kerana ia membabitkan harapan untuk membuat perubahan kepada negara di samping mahu agama Islam dimartabatkan sebaiknya.
"Saya pilih calon yang paling ringan mudarat kepada masyarakat. Saya sarankan agar para pengundi Islam menunaikan solat Istiqarah sebagai panduan untuk memilih calon yang sesuai.
"Ini kerana landskap politik negara semakin mengelirukan dan mengaburi banyak pihak sehingga persaingan tertumpu kepada keburukan akhlak pemimpin kedua-dua belah pihak," katanya yang kesal dengan senario yang berlaku.
Kata Asri lagi politik sepatutnya untuk memastikan siapa yang mempunyai idea yang terbaik membangunkan negara dan Islam namun yang terjadi kini adalah memburuk-burukkan antara satu sama lain demi mencapai survival politik parti masing-masing.
"Masyarakat gelisah melihat corak dan politik sekarang kerana ianya lebih kepada budaya 'londeh-melondeh' keburukan sehingga ianya tidak menunjukkan kematangan berfikir dan kebebasan untuk melahirkan pandangan yang berbeza.
"Sepatunya kita mesti raikan perbezaan pendapat dan menghargai kebebasan pemikiran dan budi bahasa pemimpin yang baik daripada memburukkan akhlaknya," katanya.
Tidak semestinya pandangan berbeza membawa maksud, seseorang pemimpin itu musuh atau menentang satu pihak yang lain tetapi bertujuan untuk memantapkan perjuangan membela nasib rakyat dan agama Islam itu sendiri, kata Asri.
"Jika saya beralih pandangan dalam sesuatu isu, ada yang tuduh saya pengampu kerajaan atau menyokong pembangkang sedangkan niat saya untuk memperbetulkan keadaan demi Islam dan rakyat. Ini tandanya politik pemikiran yang 'bankrap' yang harus dimerdekakan," katanya berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya pada hari mengundi nanti.
Baginya situasi gawat yang berlaku ini memerlukan pedoman dan petunjuk daripada Allah kerana sebarang kekeliruan masyarakat akan menyebabkan sesuatu keputusan dibuat dengan tidak tepat.
"Pesan saya jangan kita cuba ghairah menggugurkan satu 'hantu' kemudian mewujudkan satu lagi 'hantu' yang baru bahkan akan lebih merosakkan masyarakat dan negara," katanya.
Beliau sebelum ini pernah merakamkan panduan memilih dan menyokong seseorang melalui buku tulisannya bertajuk ' Golongan Yang Haram Disokong.' Buku tersebut ditulis sebelum beliaumenjadi Mufti Perlis.
Katanya dalam buku itu bahawa undi mempunyai nilai besar dalam Islam sehingga ada yang menyangka apalah kaitan antara undian yang diberikan kepada seseorang dalam pilihan raya dengan kedudukannya di hari akhirat.

No comments: