KERAJAAN PUSAT PERLU LEBIH PROFESIONAL DALAM MEMBENTUK HUBUNGAN DENGAN KERAJAAN NEGERI YANG DIPERINTAH KERAJAAN PAKATAN RAKYAT - IR AMIRUDDIN.
Kerajaan Pusat yang dipimpin Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mula melancarkan beberapa langkah dilihat cuba mendiskriminasi lima buah negeri yang diterajui kerajaan pakatan rakyat .
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ir Amiruddin Hamzah berkata Kerajaan Pusat perlu bersifat profesional dalam membentuk hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan Negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.
"Tindakan menyekat sesetengah ADUN dan Ahli Parlimen daripada Kerajaan Pakatan Rakyat membuktikan Kerajaan Pusat seolah-olah tidak menghormati kehendak rakyat," katanya.
Jelasnya, dalam tempoh sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12, banyak isu yang mendedahkan kelemahan Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Umno-BN tidak dapat ditangani lantas mengakibatkan mereka bertindak secara tidak bijak dengan mengalihkannya kepada bentuk sekatan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat.
"Rakyat sendiri sedang menyaksikan pelbagai usaha mereka yang mahu menyusahkan Kerajaan Pakatan Rakyat dengan menghalang projek pembangunan dan menghalang rakyat mengadakan pertemuan dengan pemimpin mereka," ujarnya.
Bahkan,kata beliau sebelum ini pihak sekolah kelolaan Kerajaan Persekutuan pernah menjemput Ketua Bahagian Umno bagi merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu bapa Guru.
"Sekarang ini, kenapa pula wakil rakyat sah yang dipilih dalam pilihan raya tidak dibenarkan merasmikan program seumpama itu?
"Apakah mereka masih sukar untuk menerima hakikat kekalahan dalam pilihan raya umum lalu yang menjadi tamparan hebat kepada mereka?" ujarnya.
Dalam jangka masa panjang ujarnya, tindakan tersebut akan memakan diri mereka serta merugikan rakyat secara umumnya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dibuat di peringkat beliau terhadap kerajaan pusat, Amiruddin menegaskan bahawa pihaknya hanya mahu menjalinkan kerjasama yang lebih baik demi kebaikan rakyat pada masa akan datang.
"Kita tidak mengamalkan sikap konfrontasi kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya rakyat.
"Kepada pihak yang mengamalkan sikap tersebut, saya harap mereka lebih cerdik, ikut kehendak rakyat dan hormatilah hak parti yang dipilih Kerajaan untuk mentadbir di sesebuah kawasan," katanya lagi.
Isu mengenai diskriminasi timbul ekoran pembatalan Memorandum Persefahaman (MOU) pelancongan di lima negeri yang ditawan pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengemukakan permintaan yang mahu pihak Kementerian Pelancongan mempertimbangkan kembali keputusan membatalkan MoU tersebut.
Semalam, Khalid dan Lim mengkritik serta melahirkan kebimbangan berikutan tindakan Kementerian Pelancongan menamatkan semua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pakatan parti-parti pembangkang.
Khalid dan Lim dilaporkan sebagai berkata tindakan Azalina itu bertentangan dengan langkah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua program yang dirancang Kerajaan Pusat bagi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, diteruskan.
Azalina baru-baru ini membuat pengumuman mengenai penamatan MoU berkenaan kerana bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh pemimpin di lima Kerajaan Negeri tersebut.
Beliau lantas berkata, "pembatalan MOU tersebut adalah keputusan daripada Kerajaan Pusat dan pihak kementerian hanya melaksanakannya. Kita bakal mengguna pakai polisi yang digunakan di Kelantan selama ini." - Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment