Tuesday, June 24, 2008

15 NGO PULA BANTAH KEPUTUSAN KERAJAAN PAS KEDAH TEBANG BALAK DI KAWASAN HUTANSIMPAN


Terus mendapat bantahan.........selepas tidak mengindahkan bantahan orang ramai, hari ini 15 buah pertubuhan bukan kerajaan pula tampil menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah.

Memorandum itu sebagai bantahan terhadap cadangan Kerajaan Pas Kedah untuk menebang balak di kawasan tadahan air.
Persatuan Pencinta Alam Cawangan Kedah membantah sekeras-kerasnya cadangan berkenaan meskipun kerajaan negeri memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan alam sekitar dan bekalan air untuk kegunaan pertanian.
Pengerusinya, Phang Fatt Khow berkata, semua pihak tidak boleh merosakkan alam sekitar terutama melibatkan kawasan tadahan kerana jika diusik, ia akan menjejaskan sumber bekalan air untuk jangka masa panjang.
Pengambilan balak tegas beliau di hutan simpan dengan apa cara sekalipun boleh menyebabkan berlaku hakisan tanah yang akan mencetekkan sungai, sekali gus memendekkan jangka hayatnya.
"Lebih memburukkan keadaan pada masa akan datang, ia dikhuatiri menjejaskan industri pengeluaran padi yang mendapat bekalan air dari empangan yang terlibat ketika negara mahu mencukupkan bekalan makanan untuk penduduk.
"Persatuan berharap kerajaan negeri akan membatalkan cadangan berkenaan," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di wisma darulaman.
Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan Kedah yang tetap mahu menebang balak di kawasan tadahan air bagi menjana ekonomi negeri meskipun pelbagai pihak meminta ia dikaji semula.
Hutan Simpanan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar dan estet hutan kekal Bukit Keramat dan Bukit Saiong merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis serta Pulau Pinang.
Fatt Khow berkata, pembalakan di kawasan tadahan air juga akan menjejaskan biodiversiti di hutan simpan terbabit yang kaya dengan flora dan fauna yang belum diusik atau diterokai.
Menurutnya, persatuan itu memahami tujuan cadangan kerajaan Kedah itu adalah untuk menjana sumber pendapatan negeri, tetapi masih ada cara lain yang boleh difikirkan dengan tidak mempertaruhkan masa depan alam sekitar dan sumber bekalan air di negeri ini.
Dalam hal ini, beliau memberi pandangan agar kerajaan negeri mengutip hasil menerusi cukai air dan tanah bagi meningkatkan pendapatan.

1 comment:

Kapten Power said...

Nak kisah apa sangat..baru 15 NGO saja..Yg berjuta rakyat dok bantah bab minyak naik harga..hang tak sibuk.Semua kena bayaq harga tuu..termasuk umno..padan muka hangpa..Sebatang pun tak tumbang lagi balak tuu..yg dah habis berekar-ekar dah..Awat tak sibuk cari dan dakwa yg terlibat sebelum ni.