Wednesday, April 9, 2008

PAS MAMPU SATUKAN RAKYAT PELBAGAI BANGSA DAN KETURUNAN

Gembira ....Ustaz Azizan bersalaman dengan sebahagian daripada dua ribu masyarakat Siam yang hadir memberi sokongan dalam perjumpaan sulung di Pendang .

MASYARAKAT SIAM BERI SOKONGAN PADU KEPADA KERAJAAN BARU KEDAH.

Masyarakat Siam di Pendang hari ini menunjukkan sokongan padu mereka kepada Kerajaan Negeri yang baru yang diterajui pakatan pembangkang.

Dalam majlis sempena lawatan kerja ke Daerah Pendang yang diadakan di Wat Siam Paya Mak Insun di sini, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menerima borang sokongan daripada wakil-wakil masyarakat Siam.

Mereka terdiri daripada masyarakat Siam Kampung Lampom, Padang Pusing, Titi Akar, Kampung Cina, Padang Peliang, Kampung Huma, Paya Mak Inson dan Sungai Siput. Turut menyerahkan borang ialah wakil kaum India dan Tionghua.

Lawatan rasmi pertama beliau ke Pendang itu dihadiri lebih 2,000 masyarakat Siam setempat dan sekitarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco-Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Pendang, Dr. Hayati Othman, Pegawai Daerah Pendang, Harun Jasin dan Ketua Sami Kedah-Perlis.

Ustaz Azizan dalam ucapannya melahirkan rasa gembira dengan majlis tersebut dan juga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat kerana telah berusaha hingga terbentuknya Kerajaan yang baru.

"Tahniah kerana kita rakyat Kedah, tidak kira apa kaum telah dapat menyedarkan rakyat bahawa rakyat yang berkuasa. Rakyat telah memilih kerajaan rakyat dan rakyat juga yang akan menjatuhkan Kerajaan, kalau Kerajaan buat tidak betul," ujar beliau.

Menurutnya di sebalik pelbagai dakwaan-dakwaan yang tersebar hari ini, hakikatnya masyarakat semakin ramai datang menemuinya.

"Tetapi hari ini berduyun-duyun datang bertemu dengan saya. Ada yang datang jumpa 20 minit, ada yang datang jumpa 10 minit, ada yang lima minit, ada yang dua minit sahaja nak salam sahaja, dia nak tengok Menteri Besar yang baru. Saya kata, Menteri Besar yang baru ini dia manusia juga bukan ada tanduk," ujarnya.

Selain itu beliau turut melahirkan rasa gembiranya dengan perpaduan yang ditunjukkan pada majlis tersebut.

"Selama ini orang kata yang boleh berpakat ini hanya BN sahaja. Selain daripada BN tidak boleh satukan rakyat. BN kata selain daripada BN tidak boleh memerintah Negara kita. Tetapi terima kasih, Alhamdulillah hari ini tanpa BN pun kita boleh satukan rakyat.

"Tuan-tuan dilahirkan di sini walaupun keturunan Siam, walaupun keturunan India dan Cina, ini bumi kita. Kerajaan sekarang tidak akan ugut orang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin. - Harakahdaily

1 comment:

Anonymous said...

Jangan lupa yang sambutan yang diberikan itu tak lebih daripada sambutan terhadap seorang tetamu.Orang kedah yang berketurunan siam sebenarnya ingin menunjukan rasa hormat mereka tetapi tidak bermakna menyokong hasrat yang dibawa oleh kerajaan PAS.Ustaz Azizan boleh bermain dengan kata kata indah untuk menambat hati tetapi rakyat sebenarnya ingin melihat sesuatu yang konkrit yang nak laksanakan bagi membangunkan masyarakat dikawasan tersebut.Kerajaan sebelum ini pun sentiasa mengiktiraf bantuan dan sokongan masyarakat keturunan siam dikawasan ini ,tidak pernah ada pun ugutan ugutan

mahmudali