Tidak seperti dijangka, isu kuota perumahan 50 peratus untuk Bumiputera yang diumumkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak memasuki fasa baru yang lebih mencabar. Ia tidak semudah yang disangkakan. Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) benar-benar menguji ketegasan kerajaan negeri.
REHDA tidak memulakan penentangan berasaskan perkauman, namun isu perkauman pula kini yang mengambilalih konfrontasi REHDA terhadap langkah kerajaan negeri mewajibkan penjualan 50 peratus rumah untuk Bumiputera.
MCA dan Gerakan yang sedang bergelut dalam nafas nazak di kalangan masyarakat Cina, tiba-tiba kembali bangkit menjuarai isu ini. Mereka semacam sudah dapat nyawa. Sebagai parti perkauman, mereka berjaya meyakinkan persatuan-persatuan Cina bahawa polisi baru ini merugikan kaum Cina.
Lim Guan Eik, ADUN tunggal dari DAP mengadakan sidang akhbar membidas polisi baru kerajaan negeri. Dia memberi tempoh sebulan kepada kerajaan negeri untuk menarik balik polisi atau Pakatan Rakyat menghadapi kehilangan sokongan dari masyarakat Cina.
Beberapa orang 'YB' yang pengundi Cina menjadi undi penentu di kawasan DUN yang Diwakilinya mengeluh besar. "Tak tahu lagi apa nak jawab dengan orang Cina, 10 yang ditemui 11 orang menentang," ujarnya.
Saya cuba menghubungi rakan-rakan Cina dari Kelab Penyokong PAS. Semuanya memberi jawapan yang sama. Tidak ada orang Cina yang menyokong! "Tolonglah, betulkan balik polisi tu, kami teruk kena hentam sama orang Cina," rayu aktivis Cina dari Kelab Penyokong PAS.
Saya menghubungi YB Mohd Nasir Mustafa, ADUN Kubang Rotan. Dia adalah 'YB' yang paling rapat dengan orang Cina. Menangnya dulu pun dengan undi Cina. Mungkin dia ada pandangan yang dapat membantu saya menggerakkan jentera penerangan kerajaan negeri, menjelaskan isu kuota 50 peratus rumah untuk Bumiputera.
"Aku lagi letih nak jawab dengan orang Cina," beritahu Nasir. Dalam kesibukannya sebagai wakil rakyat dia mengajak saya menemui seorang aktivis Cina dari KeADILan. Kami berdailog dalam kereta sambil menuju ke sebuah majlis rumah terbuka Aidil Fitri.
"Kerja kita dalam Pakatan Rakyat akan sia-sia jika isu ini tak dapat diatasi. Comfirm orang Cina tak akan bagi undi untuk kita," ujarnya.
"Pilihanraya lambat lagi, lepas tiga bulan isu itu akan dilupai, orang Cina akan kembali sokong Pakatan Rakyat," saya menguji.
"Orang Cina tak macam Melayu, isu survival bangsa adalah nombor satu. Saya ingat kalau you haramkan judi pun, hanya sebahagian Cina yang menentang, ada juga orang Cina akan sokong. Tapi kalau isu yang rugikan bangsa Cina seratus peratus akan tentang," terangnya.
"Tapi ini bukan isu perkauman," saya berhujah. "REHDAtentang kerana dia dakwa tak boleh jual walaupun 30 peratus rumah untuk Melayu. Padahal, setiap kali dibuka untuk jualan sekelip mata kuota rumah untuk Bumiputera 'habis' terutama lot kedai, enam bulan lepas tu pula hampir semuanya dibolot oleh bukan Bumiputera."
"Itu isu penipuan, isu penyelewengan dalam pelaksanaan," dia menjawab. "Penipuan adalah teknikal, kerajaan ada cukup jentera serta mekanisme untuk mengatasinya, boleh guna BPR…kalau mahu atasilah. Naikkan kuota 50 peratus, kalau penyelewengan itu tak diatasi serupa juga."
Saya cuba mengalih ke persoalan sebenar. Kebimbangan Melayu. "You cuba duduk di tempat Melayu, bayangkan tanah-tanah bendang orang Melayu dibeli. Akhirnya satu demi satu tanah Melayu berpindah milik kepada orang lain apabila rumah siap dibina. Persoalan lain, seolah-olah taman perumahan di bandar adalah milik satu kaum sahaja."
Dia lantas menjawab, "Tanah milik Melayu dipertahankan melalui Rizab Melayu. Setiap tanah rizab yang diambil jika tukar status, pemaju kena ganti semula (swaping). Hak Melayu tidak hilang bahkan bertambah pula 30 peratus melalui kuota perumahan. Jika kekal status Rizab Melayu pula, orang Cina langsung tak boleh beli.
"Isu perumahan mewah jadi tempat Cina, betulkah Melayu tak mampu beli rumah mewah atau mereka tak berminat? Itu kena buat kajian. Umum orang Melayu ada tanah pesaka. Jika ada pilihan mereka lebih suka tinggal di kampung. Kalau Melayu ada duit RM100 ribu, RM200 ribu, takkan dia nak beli rumah mewah kat taman sedangkan dia boleh buat rumah 'mewah' atas tanah sendiri di kampung."
Saya membangkitkan persoalan keghairahan pemaju membina rumah sederhana mewah dan mewah untuk mengaut untung lebih, sedangkan keperluan rakyat terutamanya Bumiputera ialah rumah dengan harga yang mampu mereka miliki.
"Itu sepatutnya yang ditekankan oleh kerajaan terhadap pemaju," dia lantas menjawab.
"Bukannya canang kuota 50 peratus, sebab bila kita umum tambah kuota Melayu, Cina akan marah."
Saya merakamkan dialog di atas dalam tulisan ini bukan untuk mempertahankan hujah masyarakat Cina dalam isu berkaitan survival bangsa mereka. Tapi sekadar membongarkan persoalan bahawa semakin lama kita berpolitik, kita semakin mundur ke belakang, dibelenggu isu perkauman yang tidak sudah-sudah. Bergerak ke kiri, ke kanan, hadapan, belakang, semuanya dibelit isu perkauman. Puncanya, parti yang mendominasi pemerintahan sejak lebih separuh abad adalah berorientasikan kaum.
Hakikatnya, perkauman adalah 'hantu raya' yang dibela UMNO, kini merayau dan mengacau di sana-sini setelah tuannya UMNO yang nazak tak mampu nak menjamu selera makhluk belaannya. Semua orang jadi susah dibuatnya.
Apapun, kerajaan negeri Kedah kena tegas mempertahankan prinsip untuk membela orang Melayu/Islam. Jangan undur dalam isu kuota 50 peratus rumah untuk Bumiputera ini. Pertahankan, sekalipun keputusan ini tidak popular di kalangan bukan Bumiputera.
"Tapi kalau Cina tak sokong, kita kalah dalam pilihanraya, apa yang kita nak pertahan?" ujar aktivis Cina penyokong PAS tadi sambil ketawa. Saya tak faham dia serius atau menyindir.
Saturday, November 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment