Saturday, November 1, 2008

KELANTAN MASIH KAJI CADANGAN CUTI BERSALIN 90 HARI


Kerajaan Kelantan masih mengkaji cadangan pemberian cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata perkara itu memerlukan perancangan teliti kerana ia membabitkan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Akta Pencen 1980.
"Kerajaan negeri mendapati melalui Akta Pencen itu akan menjejaskan skim tersebut kepada kakitangan terbabit jika dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan Mat Yusoff Abd Ghani (BN-Nenggiri) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Kelantan sebelum ini bercadang untuk memberikan tempoh cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang bagi membolehkan kakitangan terbabit menguruskan diri dan menjaga anak dengan sempurna semasa bersalin.
Ketika ini kerajaan negeri melaksanakan pemberian cuti bersalin selama dua bulan yang terhad kepada lima kali bersalin bagi setiap kakitangan wanita.
Sementara itu, Dewan juga diberitahu penjualan Hotel Perdana oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) adalah untuk menjadikan industri perhotelan di negeri itu terus berkembang pesat.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata PNB mempunyai kemampuan untuk membangunkan industri perhotelan seperti yang dilakukan syarikat itu sebelum ini.
"PKINK memerlukan suntikan besar untuk membangunkan Hotel Perdana yang bidang perhotelan ini bukan merupakan perniagaan teras PKINK dan sebab itu kita yakin dengan PNB untuk membangunkannya.
"Kita telah meletakkan syarat hotel baru itu nanti mestilah berimej Islam," katanya ketika menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga).
Hotel itu telah dijual kepada PNB membabitkan kos sebanyak RM24 juta dan telah membayar pampasan sebanyak RM4.1 juta kepada 130 kakitangan hotel itu dan kakitangan terbabit telah diberikan jaminan akan diambil bekerja semula selepas kembali beroperasi yang dijangka pada penghujung tahun depan.

No comments: