Saturday, November 1, 2008

KELANTANGAN ZULKIFLI BELA ISLAM, ANWAR DITEKAN DAP

Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) akan diminta memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan mengelirukan yang dibuatnya ketika diwawancara oleh akhbar Mingguan Malaysia.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri akan mengadakan perjumpaan dengan Zulkifli bagi mendengar penjelasan itu secara terus.
"PKR adalah sebuah parti yang demokratik, jadi kita memberi kelonggaran kepada ahli untuk bercakap.
"Apabila pandangan mereka mungkin ada sedikit menimbulkan kekeliruan maka mereka akan diminta memberikan penjelasan,'' katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.
Zulkifli dalam wawancara dengan akhbar yang diboikot oleh PKR itu baru-baru ini melahirkan kehairanan apabila ahli-ahli politik Islam yang mempunyai akidah sama tidak mampu bersatu apabila timbul isu-isu berkepentingan bersama.
Pada 17 September lalu, beliau juga telah dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin PKR ekoran pembabitan dalam perhimpunan membantah tindakan Majlis Peguam menganjurkan Forum Memeluk Islam pada 9 Ogos lalu.
Walaupun PKR mengakui hak Zulkifli untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan umat Islam, tegas Anwar, peguam itu seharusnya berhati-hati untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti dan manifesto pilihan raya.
"Beliau juga seharusnya mengambil kira kebimbangan yang ditimbulkan oleh orang lain termasuk bukan Islam,'' ujarnya.

No comments: