Friday, November 28, 2008

BENARKAH ANGKARA ANWAR - PAS TERBAHAGI DUA PUAK

Sejak tahun 1990, PAS telah memerintah di Kelantan sebagai sebuah kerajaan tunggal. Kecuali antara 1990 hingga 1995, ia berkongsi dengan Semangat 46 atas nama kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Kemudian selepas pilihan raya 1999, PAS berjaya membentuk satu lagi kerajaan negeri di Terengganu. Itu pun kerajaan tunggal juga tanpa sebarang kerjasama dengan parti lain walaupun pada ketika itu sudah ada gabungan yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA). Cuma selepas pilihan raya umum ke-12, apabila empat kerajaan negeri yang selama ini dikuasai oleh Barisan Basional (BN) tumbang kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dan Kelantan terus kekal di tangan PAS, baru dapat dilihat ujian serta cabaran sebenar kerjasama antara parti yang bergabung di bawah nama Pakatan Rakyat.
Apa yang menarik perhatian sejak kebelakangan ini, bukanlah kerjasama antara parti-parti yang membentuk gabungan bagi mentadbir kerajaan-kerajaan negeri tersebut tetapi apa yang berlaku di dalam PAS sendiri. Jika di Kedah sudah ada memorandum yang mempertikaikan tingkah laku Exco Kerajaan Negeri oleh para penyokong PAS sendiri hingga membuat memorandum menggariskan rasa kesal dan kecewa mereka dengan prestasi serta perangai mereka yang sudah berkuasa itu. Di Kelantan pula sudah kedengaran suara-suara yang berpendapat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah terlalu lama dan tidak efisien lagi untuk mengetui kerajaan negeri. Malah suara-suara kalangan orang PAS Kelantan sendiri sudah ada yang memberitahu Nik Aziz hanya masuk pejabat paling lama tiga jam dan selepas itu balik untuk berehat kerana faktor kesihatan. Maka tidak hairanlah sudah ada suara yang mahu Nik Aziz berundur bagi diganti oleh kalangan pemimpn PAS yang lebih muda untuk mentadbir Kelantan. Lain pula ceritanya di Selangor. Bukan sahaja PAS telah menyuarakan rasa tidak senang dengan layanan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap parti itu, malah ia membawa kepada wujudnya dua kem dalam PAS Selangor. Dua kem ini wujud kerana perbezaan tentang pendekatan yang seharusnya diambil oleh PAS dalam kerajaan negeri. Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali melahirkan rasa tidak senangnya tentang layanan yang diterima oleh PAS dariapda kerajaan negeri Selangor. Malah beliau bimbang beberapa pendekatan kerajaan negeri itu yang tidak disenangi oleh orang Melayu dan ada yang menyentuh soal Islam akan menyebabkan sokongan rakyat kepada pakatan kerajaan negeri merosot. Ini menyebabkan wujudkan perbezaan beliau dengan bekas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor yang juga Ahli parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad yang mahu PAS menjadi penyokong kepada kerajaan negeri dalam konteks Pakatan Rakyat kerana di negeri lain yang mana PAS menjadi Menteri Besar, parti gabungan lain memberikan sokongan mereka. Akibatnya, Hassan mengambil keputusan merombak barisan Perhubungan PAS Negeri dengan menggugurkan Khalid sebagai timbalannnya dan Saari Sungib digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan. Berdasarkan senario yang berlaku ini, kemelut yang berlaku dalam PAS ini dikatakan sedikit sebanyak cerminan kepada pertembungan dua puak dalam parti itu. Satu puak yang mahu dominasi PAS dihormati dan PAS menjadi pemain utama dalam pakatan. Satu puak lagi lebih mirip untuk mengikuti aturan politik penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Puak inilah yang dikenali dalam PAS sebagai kumpulan Erdogan. Malah sudah timbul satu persepsi bahawa Anwar kini mempunyai 'kata putus' dalam beberapa tindakan yang akan diambil oleh PAS melalui 'orang-orangnya' di dalam PAS.

No comments: