Tuesday, July 29, 2008

DAP JANGAN CAMPUR URUSAN PAS - USTAZ AZIZAN

Pas Kedah memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya termasuk UMNO.
Pesuruhjaya Kedah, Ustaz Azizan berkata, Pas sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk Pas.
"Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lepas, bukan gabungan macam BN," katanya.
"Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan UMNO demi perpaduan Melayu.
Semalam, Karpal menganggap tindakan Pas itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan Pas perlu dikaji semula.
Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.
Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil Pas atau meminta Pas merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan UMNO.
"Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan UMNO. Pas sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut)," kata Azizan.
Beliau berkata, Pas sebenarnya menyambut baik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO untuk bermuzakarah, kerana Pas telah lama berharap usaha murni itu dapat direalisasikan.
"Cerita Pas mengajak UMNO bermuzakarah bukan baru, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan oleh parti dalam Pakatan Rakyat," kata Azizan.

No comments: