Tuesday, July 22, 2008

LAGI BUKTI HUBUNGAN PKR DENGAN DAP RETAK MENUNGGU BELAH



Timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin menafikan beliau menggunakan wang kerajaan negeri untuk berkunjung ke luar negara bulan lalu."(Dakwaan itu) semuanya salah dan fitnah," katanya ketika diminta mengulas desas-desus bahawa lawatannya ke London menjadi antara punca tersebarnya khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa hubungannya mulai renggang dengan ketua menteri Lim Guan Eng.
Sumber-sumber memberitahu wakil rakyat PKR itu membawa beberapa pemimpin Angkatan Muda parti itu atas alasan kunjungannya sebagai rombongan perniagaan.
Mohammad Fairus mengakui ke luar negara tetapi dengan tujuan menghadiri Kongres Pemimpin-pemimpin Dunia yang turut disertai beberapa pemimpin dari seluruh dunia. Kongres itu untuk memupuk kepimpinan peserta dan menggalakkan hubungan rapat masyarakat, tambahnya.Beliau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menggunakan wang kerajaan untuk tujuan itu."Saya tidak guna satu sen pun," katanya.Menurutnya lagi, beliau hadir dalam program itu kerana ia "ada kena- mengena dengan portfolio" beliau dalam kerajaan Pulau Pinang.Mohammad Fairus dipertanggungjawabkan sebagai pengerusi jawatankuasa hal-ehwal agama, pembangunan keusahawanan dan koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat.
Jemputan menghadiri program itu, menurut beliau, dibuat kepadanya secara peribadi.Diminta mengulas lanjut tentang penyertaan kurang 10 wakil dari Pulau Pinang, seperti dakwaan, dalam program itu, beliau hanya berkata "ramai.""Tidak perlu pergi (lebih) terperinci," tambahnya.Dakwaan terhadapnya itu, menurut Mohammad Fairus, tidak menjadi isu kerana ia tidak benar."Hanya di peringkat awal wujud salah faham," katanya.Dengan tegas, beliau berkata, pihak yang membuat tuduhan sepatutnya berjumpanya terlebih dahulu untuk mendapatkan penjelasan, bukan menyebarkan perkara itu tanpa usul periksa.Pihak yang membuat dakwaan itu, menurut Mohammad Fairus, "tidak boleh tengok orang senang.
"Difahamkan, kunjungan beliau bersama rombongannya dibuat tanpa pengetahuan Lim dan anggota-anggota exco dan lawatannya disedari apabila beliau sudah berada di luar negeri.Perkara itu, tambah sumber, dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dan turut dibawa dalam mesyuarat PKR bulan ini.Sumber-sumber juga mendakwa mesyuarat berkenaan "ambil perhatian" tentang perkara itu.Minggu lalu, Mohammad Fairus dalam sidang media bersama Lim menafikan khabar angin kononnya hubungan mereka berdua bermasalah sampai ke peringkat wakil rakyat Penanti itu meletakkan jawatan. Beliau berkata khabar angin yang tersebar melalui SMS itu berniat jahat terhadap pimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu. "Saya masih di sini, khabar angin tetap khabar angin. Pakatan Rakyat sedang berjuang untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan ada pihak macam cuba mengalihkan hal ini dengan menyebarkan SMS berhubung perkara itu (letak jawatan). "Pihak berkenaan cuba mengalih tumpuan rakyat dengan mereka-reka cerita seperti ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang, Rabu lepas. Lim, yang juga setiausaha agung DAP, turut menegaskan bahawa beliau tidak ada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Mohammad Fairus - Malayskini

No comments: