Saturday, December 20, 2008

14 NGO DAKWA KERAJAAN PAS KEDAH GAGAL URUS NEGERI DENGAN BAIK

Gabungan Deklarasi Rakyat Kedah yang menghimpunkan 14 badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk 11 wakil komuniti masyarakat di Kedah mendakwa kerajaan negeri gagal memerintah dengan baik sejak sembilan bulan lalu.
juga mengeluarkan Kad Laporan Prestasi Kerajaan Negeri yang bertujuan menilai prestasi kerajaan negeri yang menjurus kepada ‘Hak Rakyat dan Alam Sekitar’.
Jurucakap Jawatankuasa Deklarasi Rakyat, Mohd Shahrul Anuar Mahmod berkata, kerajaan negeri gagal melaksanakan serta memenuhi janji ketika pilihan raya serta menyelesaikan kes-kes kemusnahan alam sekitar.
Deklarasi Rakyat telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar dan telah memberikan masa 60 hari untuk berjumpa dan berbincang sekali gus mendapat jawapan mengenai permasalahan berkenaan bagaimanapun, tindak balas itu mendukacitakan. “Kami menghantar memorandum berkenaan pada 20 Mei lalu dan memberikan masa 60 hari untuk dipanggil berbincang dan mencari penyelesaian tetapi bukan sahaja tidak dilayan malah tiada jawapan diterima.
“Hasil desakan pihak kami, satu pertemuan bersama Ahli Mesyuarat Negeri Kedah (EXCO) Kedah telah diadakan tetapi ia umpama ‘mencurah ke daun keladi’ apabila tiada maklum balas serta jawapan yang diterima hingga kini,” katanya di Alor Star, semalam.
Anuar berkata, antara janji kerajaan negeri kepada rakyat sebelum ini ialah menghentikan operasi Kuari Gunung Jerai yang menyebabkan punca banjir lumpur kepada penduduk Kampung Singkir.
Menurutnya, bukan sahaja kerajaan tidak berusaha menghentikan operasi itu malah tidak mematuhi prosedur perundangan projek yang memberi kesan kepada masyarakat.
“Contoh terdekat ialah projek Zon Indsutri Petroleum Yan (ZIPY) yang memperlihatkan kerajaan negeri seolah-olah bermain tarik tali terhadap proses undang-undang dan mekanisme yang sepatunya,” katanya.
Sementara itu, Wakil Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Md Zain berkata, kerajaan negeri tidak mengambil tindakan menyelamatkan Hutan Ulu Muda.
“Nasib petani di sini diabaikan dan tidak mendapat tempat berikutan tidak terlibat secara langsung di dalam keputusan kerajaan negeri untuk membalak Hutan Ulu Muda, di sini.
“Bukan sahaja kerajaan tidak mengambil tindakan kepada pembalak haram yang mencuri aset kedah malah bersedia melakukan aktiviti pembalakan di hutan itu,” katanya.
Wakil Muafakat Warga Desa (Rural Citizens), Aziz Man berkata, kerajaan gagal mengemukakan dasar yang jelas dalam memulihara alam sekitar dan hak komuniti Kedah.
“Selain itu, kerajaan seperti tidak berusaha untuk memulihara hutan payau bakau,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini aktiviti kemusnahan baku dan akuakultur masih berjalan tanpa pemantauan dan tindakan oleh kerajaan negeri.

No comments: