Thursday, December 4, 2008

PEMECATAN ZAID, IBARAT BERSIH KUDIS SAJA - KATA PEMERHATI POLITIK

Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada parti UMNO tidak akan memberi kesan negatif kepada UMNO memandangkan pucuk pimpinan kini dalam usaha untuk membersihkan identiti parti yang tercalar dengan isu politik wang. Pensyarah di Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussein berkata, Zaid ibarat ‘kudis’ dalam parti, dan tindakan memecatnya daripada parti merupakan salah satu usaha UMNO untuk menghapuskan ‘kudis’ yang ada dalam parti terbabit.
“Zaid ibarat ‘duri dalam daging parti’ sehingga sanggup bertindak jauh dari dasar-dasar parti yang menyebabkan ahli parti yang lain mendesak beliau dipecat keanggotaannya."
“Apabila seseorang ahli melakukan sesuatu di luar batasan norma-norma parti sedangkan ketika itu masih lagi menjadi ahli, apatah lagi sebagai bekas menteri kerajaan, Zaid dianggap sebagai ahli yang melakukan kesalahan,” katanya.
Menurut Ahmad, sebagai bekas menteri, tindakan zaid (menghadiri majlis anjuran pembangkang) tersebut memberi tamparan kepada parti dan pemecatannya bukan yang pertama dalam sejarah UMNO kerana sebelum ini ramai ahli UMNO yang telah dipecat keahliannya akibat masalah salah laku.
“Sebab itu, dari satu sudut, pemecatannya tidak memberi kesan negatif terhadap parti kerana jika tindakan tersebut tidak diambil, ia akan memalukan parti kerana mempunyai ahli yang tidak setia."
“Malah tindakan Zaid juga, mungkin disebabkan kerana beliau ditolak oleh UMNO Kelantan sendiri yang meminggirkannya dan jika tindakan pemecatan beliau tidak dilakukan, ia akan memberi tamparan hebat kepada pucuk pimpinan UMNO,” katanya.

No comments: