Saturday, December 13, 2008

KRISIS PAS SELANGOR BERMULA DI LANGKAWI - DEDAH PENULIS BLOG TULANG BESI


Pergeseran dua pemimpin kanan PAS Selangor mula memuncak sewaktu permukiman pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu di Langkawi sebulan lalu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali didakwa membentang laporan yang mengkritik pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat di negerinya, kata seorang aktivis parti itu.
Pada hal permukiman tersebut diuar-uarkan untuk merapatkan anggota-anggota jawatankuasa pusat PAS dan majlis syura tetapi menjadi medan serangan Dr Hasan terhadap kerajaan Selangor, katanya, yang dikenali Tulang Besi, kepada Malaysiakini.
Susulan laporan yang digambarkan "100 peratus negatif" berkaitan kedudukan PAS dalam kerajaan negeri, dua minggu selepas permukiman tersebut, maka pemimpin atasan PAS yang tidak berpuas hati memanggil Dewan Harian negeri itu untuk membentang laporan tersebut kepada lajnah politik PAS.
Dr Hasan didakwa membentang laporan yang sama negatif - disanggah oleh Khalid Samad, waktu itu masih timbalan pesuruhjaya II PAS negeri dan anggota lajnah politik.
Wakil rakyat Gombak Setia itu juga disanggah hebat oleh saf kepemimpinan PAS di permukiman tersebut, yang diadakan antara 7 hingga 9 November.
Tulang Besi, penulis blog Malaysia Waves yang tekal mendedahkan pergeseran dalaman PAS, mendakwa Dr Hasan cukup tidak berpuas hati dengan penolakan tersebut.
Tambahnya, di sinilah bermulanya pergeseran tajam antara Dr Hassan-Khalid yang berakhir dengan pengguguran tokoh nombor tiga daripada kepimpinan PAS negeri pada 21 November lepas.
Pemecatan Khalid bersama ketua penerangannya Saari Sungib pada tarikh yang sama tidak dibuat di peringkat Dewan Harian PAS negeri, seperti dilaporkan, sebaliknya tindakan peribadi Dr Hasan secara mengejut dalam mesyuarat badan perhubungan negeri pada sebelah malam hari yang sama.
"Yang hairannya, dalam mesyuarat Dewan Harian negeri sebelum pemecatan (kedua-duanya), tidak dibincangkan langsung akan pemecatan Khalid ini," dakwa Tulang Besi lagi di blognya kelmarin.
"Keputusan memecat Khalid ini dibuat secara impromptu (tiba-tiba) tanpa merujuk kepada Dewan Harian negeri.
"Ahli-ahli (badan) perhubungan negeri seperti terkejut dan tiada siapa yang bersuara kerana mereka berada dalam keadaan yang sangat terkejut."
Tulang Besi turut mendakwa laporan Dr Hasan turut dibincangkan dalam mesyuarat unit kajian strategik PAS negeri PASKAD, yang diselia oleh Dewan Harian negeri.
"Oleh kerana Khalid pengerusi PASKAD, maka Khalid telah dipersalahkan 100 peratus.
"Padahal pada masa itu telah diperbincangkan berbelas isu-isu lain dan isu (Dr Hasan) itu hanya sebahagian sahaja. Dan bukannya Khalid yang menaikkan isu tersebut," coretnya.
Setiausaha perhubungan PAS Selangor, Yusof Ludin menjelaskan tindakan menggugurkan Khalid dan Saari "bukan atas tindakan peribadi" Dr Hasan.
"Ia dibincangkan dalam Dewan Harian PAS Selangor dan badan perhubungan PAS negeri," katanya.
Menafikan dewan itu tidak dimaklumkan tentang langkah memberhentikan dua pemimpin itu, Yusof berkata Khalid dan Saari malah hadir di mesyuarat dua badan tertinggi tersebut, hujung bulan lepas.
Tambah beliau laporan yang dibentangkan oleh Dr Hasan di Langkawi awal bulan lalu, sehingga didakwa menimbulkan pergeseran antara Dr Hasan dan Khalid, adalah "masalah dalaman parti tersebut".
Beliau juga enggan mengulas lanjut kandungan laporan yang didakwa negatif yang digembar-gemburkan oleh penulis blog itu.
Katanya, pengguguran Khalid dan Saari adalah "isu kecil yang diperbesar-besarkan oleh media".
Sementara itu, satu sumber yang dekat dengan badan perhubungan PAS negeri menafikan adanya perselisihan faham atau pertikaman lidah antara Dr Hasan dan Khalid.
Sumber itu bagaimanapun mengakui kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai pendekatan, gerak kerja dan tindakan yang saling berbeza.
Sumber itu juga enggan mengulas isu laporan berhubung Pakatan Rakyat di Selangor yang dibentangkan oleh Dr Hasan di permukiman PAS dan lajnah politik.
Tulang Besi mendakwa usaha meminggirkan Khalid tidak digerakkan oleh PAS Selangor sahaja, sebaliknya beliau percaya ia didalangi oleh beberapa pemimpin atasan yang promuzakarah dengan Umno.
Dalam perhatian PAS untuk dikenakan tindakan disiplin akibat penulisan di blognya, turut mendakwa konspirasi mendekatkan PAS dengan Umno didalangi oleh mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dalam parti itu dan golongan ulama konservatif, termasuk pemimpin kanan Majlis Syura Ulama.
"Tokoh korporat itu bimbang dengan dasar Pakatan Rakyat yang didakwa tidak pro-Melayu.
"Mereka ini dapat kontrak daripada kerajaan, jadi mereka mahu keadaan kini (kontrak kepada usahawan Melayu) dikekalkan. Mereka takut persaingan terbuka (mendapat kontrak)," katanya.
Tokoh korporat dalam PAS yang dinamakan itu dipercayai membiayai kegiatan parti itu dan pemimpin-pemimpin kanannya, termasuk bekas presiden Datuk Fadzil Noor.
Aktivis PAS itu juga pernah mendakwa bahawa kumpulan promuzakarah dengan Umno dalam parti itu yang cuba menyingkirkan Khalid dan kelompok profesional - yang dilabel sebagai "kumpulan Erdogan" - berada di ibu pejabat PAS dan beberapa jabatan dalam parti itu.
Beliau menuduh blog Anti Husam yang muncul menjelang muktamar PAS Ogos lalu dibina oleh orang dalam parti itu sendiri.
Blog ini pertama kali memperkenalkan label "kumpulan Erdogan" - kini istilah popular di kalangan media dan pemimpin Umno.
Selain Khalid sendiri, Anti Husam membuat beberapa tuduhan terhadap Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, setiausaha agungnya Datuk Kamaruddin Jaafar dan bendaharinya Dr Hatta Ramli.

No comments: