Monday, December 29, 2008

ISU HUDUD - BERANIKAH DATUK SERI ANWAR CONTENG ARANG DI MUKA HADI DAN NIK AZIZ


Ia mungkin dikatakan satu isu politik kecil yang cuba diperbesarkan.
Sebenarnya isu Hudud dan Qisas ini bukanlah ciptaan Barisan Nasional atau sesiapa yang mungkin didakwa cuba mengambil kesempatan untuk lanyak PAS apa lagi menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Sebaliknya itulah pendirian PAS sebagai sebuah parti dan bagi DAP juga ia tetap berpendirian menentang habis sebarang usaha untuk melaksanakan hukum itu.
Datuk Husam Musa yang asalnya bersemangat kental kata PAS tetap ‘ nak buat’ sudah tarik hand brake dengan memberi alasan ia memerlukan persetujuan dua rakannya dalam pakatan itu, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Namun begitu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas mahu ia dilaksanakan.Katanya PAS sedia berbincang dengan DAP dan PKR mengenai hukum hudud.
Soalnya bagaimana sekarang? Seorang cakap begini seorang lagi cakap begitu.
Kalau dulu sebelum pembangkang berkuasa di lima buah negeri selepas pilihanraya umum Mac 2008 ia mungkin dilihat macam ribut dalam cawan kopi antara parti pembangkang.
Kini hakikatnya PAS selain kekal di Kelantan sudah berkongsi kuasa di Kedah,Pulau Pinang,Perak dan Selangor.
Melihat kontroversi terbaru ini dimana DAP khususnya tidak mahu berganjak dan Husam jadi lembik salahkah siapa saja mendakwa PAS hanya mengunakan agama untuk tujuan politik?
Ini juga bukan pertama kali PAS dan DAP bertegang leher mengenai isu berkenaan.
Titik temunya memang tidak kelihatan.Ia reda seketika semata-mata untuk menang pilihanraya.
Pengerusi DAP Karpal Singh sudah membuat kenyataan bahawa ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan pendirian parti itu mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS jika pembangkang memerintah negara ini.
Katanya Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Nik Aziz bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.
"PAS akan rugi jika ia berkeras untuk melaksanakan hukum hudud kerana DAP akan menentangnya," kata Karpal.
Beliau berkata PAS tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa malaysia bukannya sebuah negara Islam.
Apa yang menjadi tandatanya beranikah Anwar mendokong pendirian Nik Aziz atau beranikah beliau menconteng arang di muka Mursyidul Am PAS itu dengan menyebelahi DAP?
Dalam politik macam-macam kemungkinan boleh dicetuskan termasuk dengan alasan itu ini.
Namun untuk bermain dengan soal agama ia boleh membangkitkan macam-macam sensitiviti. Anwar pasti sedar PKR mendapat dokongan kuat dari kalangan aktivis Cina dan India kerana meletakan harapan beliau adalah saluran mereka untuk mencapai impian Malaysian Malaysia.
Sanggupkah beliau memperjudikan sokongan itu?
Mungkin golongan Erdogan yang pro Anwar dalam PAS yang diketuai oleh Husam boleh menelan cakapnya demi untuk menyelamatkan ikatan pakatan pembangkang.
Bagaimana pula dengan golongan ulama ? Pergeseran antara dua kelompok ini bukan lagi rahsia.Isu yang belum selesai ini pastinya buatnya jadi lebih membara.
Sumber-sumber PAS tidak nampak mereka dapat berkompromi dengan sebarang dolak dalik Anwar tentang isu ini.
Seluruh rakyat Malaysia kini sedang memerhati drama siri terbaru ini dimana taruhannya ialah soal agama.

No comments: