Thursday, December 25, 2008

AZMAN UMAR - GM BARU LADA


Azman Umar dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang baru bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani yang tamat tempoh perkhid-matan 1 Disember lalu.
Azman, 54, merupakan bekas Timbalan Setiausaha Bahagian di Kementerian Kewangan.
Menurutnya, misi utama beliau ialah untuk meneruskan usaha memajukan Langkawi terutama memperkukuhkan industri pelancongan dan perniagaan tempatan.
“Saya akan laksanakan segala projek yang telah dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan menilai semula beberapa projek di Langkawi yang masih dalam proses awal.
“Penekanan saya adalah meneruskan usaha terdahulu dalam memperkenalkan Langkawi sebagai geopark dunia kerana pelbagai kejayaan telah dikecap sehingga Langkawi diiktiraf oleh badan dunia Unesco,” katanya.
Azman berkata, dia kini masih di peringkat pengenalan mengenai portfolio yang baru dipegangnya dan memberi jaminan segala urusan pentadbiran akan berjalan seperti biasa menjelang tahun baru.
Menurutnya, Langkawi mempunyai banyak potensi dalam menjana kewangan negara sekiranya mendapat kerjasama dari kerajaan negeri.
“Mengenai kontrak lanjutan LADA sehingga 2010, kita telah mendapat lampu hijau dari Kerajaan Persekutuan cuma dengan kerajaan negeri masih dalam peringkat perbincangan.
“Kerjasama antara LADA dan kerajaan negeri amat penting untuk bersama-sama menerajui pulau ini. Kita mahu wujudkan jalinan bagi memudahkan urusan dan perbincangan mengenai sesuatu perkara yang dibangkitkan,” katanya.
Katanya, walaupun LADA di bawah Kerajaan Persekutuan, tetapi Langkawi berada bawah penguasaan kerajaan negeri dan segala keputusan harus mendapat kata putus bersama.
Beliau berharap, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta warga Langkawi dapat berganding bahu membangunkan pulau itu bagi mengulangi sejarah merekodkan kemasukan pelancong seramai 2.33 juta seperti tahun lalu.

No comments: