UMNO yang selama ini dilihat mendiamkan diri dan sekadar minta semua pihak menghormati konsep ketuanan Melayu, menyaksikan beberapa pemimpinya mula bangkit bukan sahaja mempertahankan konsep ketuanan Melayu malah memberikan kenyataan yang mengingatkan agar mana-mana pihak termasuk kalangan pemimpin komponen BN agar jangan mempertikaikan isu berkenaan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz contohnya bukan sahaja meminta isu tersebut dihentikan, tetapi melabelkan mereka yang mempertikaikan ketuanan Melayu sebagai penderhaka dan mirip kepada gerakan revolusi.
Alasannya “Ketuanan Melayu bukan UMNO tetapi adalah institusi Raja-Raja Melayu” dan dengan itu mempertiakikan konsep ketuanan Melayu bermakna pihak-pihak tertentu jelasnya, mempertikaikan Raja-Raja Melayu bukannya UMNO.
Sehubungan itu beliau meminta, pihak-pihak yang mempertikaikan isu ketuanan Melayu berhenti daripada berbuat demikian kerana apabila ia menyentuh tentang institusi Raja-Raja Melayu, ada peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan boleh digunakan terhadap mereka.
Kenyataan Nazri tersebut sudah tentu berbeza nadanya dengan kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini yang meminta agar konsep ketuanan Melayu dihormati dan kenyataan mempertikai ketuanan Melayu dianggap menyinggung dan mengguris hati orang Melayu.
Ini kerana beliau dengan jelas menyatakan, penentangan kepada konsep ketuanan Melayu bererti menentang institusi Raja-Raja Melayu yang membawa maksud penderhakaan kepada negara kerana kedudukan Raja-Raja Melayu dijamin dalam Perlembagaan dan perlu dihormati. “Konsep ketuanan Melayu sepatutnya tidak perlu dibincang secara terbuka. Ketuanan Melayu bukan bermakna Melayu itu tuan dan kaum lain adalah hamba. Ketuanan Melayu bukan bermaksud UMNO mesti memerintah. Ketuanan Melayu adalah institusi Raja-Raja Melayu yang telah wujud sejak sebelum merdeka…kalau sesiapa tidak setuju dengan institusi Raja-Raja ia adalah satu penderhakaan tetapi UMNO akan tetap mempertahankannya,” ujar beliau. Ditanya kenapa sejak selepas pilihan raya umum Mac lalu, isu ketuanan Melayu serta isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu begitu banyak dipersoalkan. Nazri dengan nada tegas berkata, ia dijadikan alasan olah parti-parti komponen sebagai punca kepada kekalahan BN dengan meletakkan alasan kerana konsep ketuanan Melayulah rakyat menolak BN.
“Yang kalah ialah mereka. Daripada 40 kerusi yang ditandingi oleh MCA, mereka cuma menang 15, GERAKAN cuma menang dua itupun di Gerik ia adalah kerusi UMNO sebenarnya, MIC juga begitu. “Namun UMNO masih tetap unggul…jadi kenapa ketuanan Melayu dipersalahkan dan hendak dihapuskan,” tegasnya.
Sehubungan itu beliau meminta semua pihak berhenti daripada membuat kenyataan yang tidak sewajarnya berhubung soal ketuanan Melayu.
Suara Nazri tersebut tidak terhenti setakat di situ sahaja kerana rupa-rupanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2008 yang membabitkan Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan, sekali lagi isu ketuanan Melayu menjadikan Dewan Rakyat yang bersidang sehingga jam 11.00 malam tidak sepi seperti selalu.
Isu tersebut menjadi bahan perdebatan dan beberapa Ahli Parlimen BN secara terbuka membahaskan perkara berkenaan di bawah tajuk perpaduan.
Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz membuka gelanggang perbahasan dengan tanpa selindung kesal dengan sikap pemimpin komponen BN yang mempertikaikan ketuanan Melayu. Perdebatan yang hangat itu turut menyaksikan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kassim, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Rahman serta beberapa yang lain turut mengambil bahagian mempertahankan konsep ketuanan Melayu yang selama ini dijadikan senjata oleh pembangkang menyerang UMNO dengan memanipulasi pengertian konsep itu kononnya Melayu adalah tuan dan kaum lain adalah hamba.
Walaupun pihak pembangkang yang diketuai oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang cuba terus mengapi-apikan isu berkenaan, seperti dikatakan seolah-olah menjadi hari kepada para pemimpin UMNO bangun mempertahankan konsep tersebut dengan satu nada dan tidak lagi berselindung.
Bukan hanya pembangkang, para pemimpin komponen BN sendiri turut ‘diserang’ walaupun ia bukan menjadi amalan terutama di kalangan pemimpin Melayu selama ini.
Jika selama ini kiasan dan ayat berlapik digunakan, tetapi hari Isnin, segalanya terbuka dan berterus terang. – Agendadaily.
No comments:
Post a Comment